Seperti yang aku katakan dalam ENTRI INI, aku nak review mengenai filem Rock Bro : Kembali ke Pangkal Jalan.
Filem Rock Bro adalah filem terakhir dalam Trilogi Rock selepas filem Rock (2005) dan Rock Oo (2013). Ini juga merupakan perjalanan terakhir kumpulan Rimba Bara. Kalau korang follow dua filem Rock sebelum ini, pastinya korang tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem Rock Bro.
Filem ini diarahkan oleh Mamat Khalid dan dibintangi oleh pelakon utama Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Azmi Bahron, dan Amy Jueliet ( pelakon baru yang membawa watak Ella ). Penampilan istimewa dalam filem ini adalah Shuib Sepahtu, Dato Hattan, Man Kidal, dan Black Wings.
SINOPSIS
Filem ini mengisahkan mengenai kumpulan Rimba Bara yang masih berjuang mempertahankan rock di tanah air semasa zaman kegawatan ekonomi.
Mereka tetap teguh berdiri walaupun hanya beberapa orang penonton saja untuk setiap persembahan. Malah, mereka hanya mendapat buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai bayaran untuk setiap persembahan mereka.
Kisah mereka kemudiannya menjadi menarik apabila mereka mendapat durian runtuh kerana ditawarkan membuat rakaman album daripada satu syarikat muzik.
Di sana, Jijo bertemu Ella dan jatuh cinta. Semasa melancarkan album Rimba Bara, Jijo menyatakan hasrat untuk keluar daripada Rimba Bara dan berhenti daripada bidang seni.
Ini menyebabkan perpecahan kumpulan Rimba Bara.
REVIEW
Rasa macam nak menyanyi sekali semasa menonton filem ini. Banyak lagu rock yang disiarkan dan ia membuatkan kita sebagai penonton berasa teruja. Hehe. Dan kelakar juga sebab setiap kali lagu disiarkan, bagaikan kita melihat video klip dalam filem. Kononnya, lagu-lagu tersebut adalah hits kumpulan Rimba Bara. Video klip pulak kelakar =D
Kisah dalam filem ini lebih ditumpukan kepada watak Jijo dan Slash. Jijo yang menjadi tunjang utama kumpulan akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan Rimba Bara kerana kecewa dengan Ella.
Aku rasa kelakar dengan setiap watak yang ada. Masing-masing mempunyai karakter tersendiri. Watak Che Man masih ‘win’ bagi aku. Dan babak komedi paling aku suka tetap kepunyaan Amy Mat Piah yang mental sebab tak dapat menjadi vokalis Rimba Bara. Nyanyi di setiap pokok! Walaupun hanya #throwback, tetap tidak dapat dilupakan.
Pujian wajar diberikan kepada watak Ella. Aku rasa dia berjaya membawa imej Ella dengan baik. Gaya manja dan mengada tetap ada. Haha. Pandai juga Mamat Khalid cari pelakon. Manakala watak Che Nod (adik Che Man) , bagi aku, hanya sekadar untuk menyedapkan lagi cerita.
Filem ini tidak penuh dengan komedi seperti filem sebelumnya. Mungkin kerana Rock Bro adalah pengakhiran cerita dan lebih serius dalam sudut penceritaan. Aku tidak dapat terima babak komedi semasa Black memukul drum dengan ular dan tiba-tiba penuh ular tedung di kawasan mereka menyanyi. Bagi aku, babak itu tidak kelakar. Nampak palsu sangat.
Aku suka ayat Jijo semasa bagi komen mengenai lagu yang dia dengar di radio. Lagu yang bercakap dari mula sampai habis. Haha. Lagu yang dimaksudkan adalah lagu daripada kumpulan Nico dan 4U2C. Lagu gaya begitulah. Cakap dari mula sampai habis. Haha.
Keseluruhan filem ini, okay bagi aku. Kelakar dan nampak apa yang dimaksudkan dengan Kembali ke Pangkal Jalan. Cuma mungkin tidak memenuhi piawaian yang aku nak. Aku bagi 7/10 bintang untuk filem ini.
Kepada peminat Trilogi Rock, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem penutup trilogi ini. Layan filem sambil menyanyi dan pastinya selepas keluar dari wayang, korang akan rasa nak pergi karok atau dengar kembali lagu-lagu rock lama. Best oooo!
Selamat menonton ^_^
#SupportIndustriFilemTempatan